LAPAN tahun lalu, langkahnya bermula sebagai editor produksi. Setahun dia berada di posisi itu dan pada masa sama mencuba nasib sebagai penyanyi hingga terhasil album berjudul Yana Ceria.
Fokusnya terhadap kerja kreatif terpaksa dihadkan apabila melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana Muda di Universiti Teknologi Mara selama tiga tahun.
Pemilik nama Norliana Samsudin atau mesra membahasakan diri Yana ini hanya memikul tugas sebagai penyunting pada cuti semester dan pada 2007, dia diberi peluang oleh Metrowelth Pictures mengarah filem Selamat Pagi Cinta yang dibintangi Nur Fazura, Pierre Andre, Que Haidar dan Sharifah Amani.
Tahun sama juga dia menjayakan filem Histeria sebagai penutup sementara kerjaya seninya untuk menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran. Usai menggenggam segulung ijazah, gadis kelahiran Yong Peng, Johor ini ditawarkan membintangi filem Adnan Sempit dan itulah permulaan pintu rezeki sebagai pelakon terbuka luas.
Sumber : http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2011112706405920111127064059/Article/artikelMA